Tuesday, July 11, 2017

PERBEZAAN ANTARA TAKAFUL DAN INSURANS

 APA ITU TAKAFUL?


Takaful adalah kata terbitan bahasa arab "kafala" yang bermaksud "jamin" dan perkataan Takaful membawa maksud saling menjamin. Istilah Takaful telah digunapakai dalam konteks insurans secara Islam. Ia merupakan satu perjanjian antara sekumpulan peserta untuk saling menjamin antara satu sama lain apabila berlakunya musibah atau kerugian tertentu.

Takaful yang wujud pada hari ini pula adalah Takaful berbentuk perniagaan (Tijari) di mana sebuah syarikat menjalankan satu bentuk perniagaan yang bertujuan untuk memberikan jaminan yang berlandaskan Syara' iaitu terhindar daripada unsur Riba' (bunga), Maisir (perjudian) dan Gharar (ketidakpastian). Untuk tidak terlibat daripada unsur-unsur tersebut, perniagaan Takaful menggantikannya dengan konsep Tabarru' (derma) dan perjalanan operasinya menggunakan dua konsep muamalah Islam iaitu konsep "Mudharabah" dan "Wakalah"

Dalam konteks Takaful ini, peserta bersetuju untuk saling menjamin antara mereka. Ia berasaskan kepada sifat persaudaraan, kasih sayang dan saling bantu membantu. Dikatakan demikian kerana sumbangan wang yang deberikan oleh peserta akan dikumpulkan dan wang tersebut digunakan untuk membayar pampasan kepada peserta yang mengalami musibah atau kerugian.

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan maklumat mengenai takaful di sini 




PERBEZAAN ANTARA TAKAFUL DAN INSURANS

Takaful dan Insurans mempunyai tujuan yang sama iaitu memberikan jaminan dan bantuan kepada peserta dalam bentuk kewangan. Namun di antara keduanya terdapat perbezaan yang besar. Perbezaan yang wujud dapat dilihat daripada beberapa sudut berikut:
  


1.HUKUM


Perniagaan Takaful adalah halal dan umat Islam harus menyertainya sementara perniagaan insurans telah diputuskan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga majlis-majlis fatwa lain. Perniagaan insurans mengandungi unsur Riba, Maisir dan Gharar. Maka memberi polisi insurans dan segala hasil pendapatan daripada syarikat insurans adalah haram.



2.KONTRAK ASAS YANG DIGUNAPAKAI


Dalam Insurans konvensional kontrak yang digunapakai ialah kontrak pertukaran (Mu'awadat) iaitu dalam bentuk jual beli. Sementara Takaful menggunakan kontrak derma (Tabarru') 



3.KONTRAK-KONTRAK LAIN


Dalam Insurans konvensional tidak terdapat kontrak-kontrak lain selain kontrak jual beli. Tetapi dalam Takaful, digunakan kontrak wakalah (agensi) dan kontrak Mudharabah (perkongsian untung rugi)


4.TANGGUNGJAWAB PEMEGANG POLISI

Peserta Takaful akan menyumbang caruman untuk saling menjamin di antara semua peserta sementara pembeli insurans akan membayar premium kepada penanggung insurans. Penyertaan Takaful merupakan satu akad di kalangan peserta tetapi pembelian insurans adalah satu kontrak di antara penginsurans dan pemegang polisi.

 
5.SALURAN PELABURAN

Pelaburan kumpulan wang Takaful akan dilaburkan melalui instrumen pelaburan yang diharuskan dan pelaburan ini hanya akan dilakukan ke atas syarikat-syarikat yang telah dikelaskan sebagai patuh Syariah yang dikeluarkan oleh Suruhan Jaya Sekuriti (SC).

Pelaburan syarikat insurans pula adalah bebas kepada semua jenis instrumen tidak mengira sama ada halal atau tidak. Ini termasuklah pelaburan ke atas syarikat perjudian dan arak.



6.PERJALANAN OPERASI


Syarikat Takaful mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang bertanggungjawab memberikan nasihat terhadap segala aktiviti termasuk pelaburan. Selain itu syarikat Takaful juga mempunyai unit Syariah yang berperanan sebagai sekretariat kepada Majlis Penasihat Syariah. Syarikat insurans tidak mempunyai bahagian penasihat Syariah kecuali Syarikat MCIS Zurich Insurance. Walaupun begitu, penasihat Syariah ini hanya memberi nasihat dalam beberapa perkara tertentu sahaja. Namun perjalanan operasinya masih lagi perniagaan insurans konvensional. 



No comments:

Post a Comment

IMPIAN SEORANG BAPA KEPADA ANAKNYA

Assalamualaikum dan hai semua, Hari ini saya akan berkongsikan iklan thailand berkenaan dengan insurans. Iklan ini be...